Sejarah Orang Cina di Johor

Muzium Warisan Tionghua Johor Bahru

Kehadiran orang Cina ke Tanah Melayu sudah bermula pada awal abad ke-15 iaitu semasa zaman Kerajaan Melayu Melaka telah menjalinkan hubungan perdagangan dan persahabatan dengan negara China. Penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu khususnya di Negeri-negeri Selat semakin pesat pada awal abad ke-19, berikutan dengan perkembangan perdagangan di Pulau Pinang dan Singapura.

Pada tahun 1866, Temenggung Abu Bakar, anakanda Temenggung Ibrahim, dilantik menjadi Sultan Johor secara rasmi dan menamakan Bandar Tanjung Puteri sebagai Johor Bahru. Sultan Abu Bakar memperkenalkan sebuah perlembagaan dan menubuhkan sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Dibawahnya, Johor menikmati pembangunan ekonomi yang cemerlang. Permintaan lada hitam dan gambir yang tinggi pada abad ke-19 menyebabkan pembukaan ladang-ladang baru dan kemasukan buruh Cina secara beramai-ramai. Sultan Abu Bakar kemudiannya dikenali sebagai "Bapa Johor Moden". Orang Cina dibawa masuk melalui Sistem Kangchu untuk bekerja sebagai buruh di ladang lada hitam dan gambir.

Kebanyakan imigran Cina yang tiba di Tanah Melayu berasal dari Selatan China iaitu dari wilayah Kwangtung, Kwangsi, Hainan dan Fukien. Mereka terdiri daripada suku Hakka, Kantonis, Teochew, Hailam dan Hokkien. Sebelum Perang Dunia Kedua pada tahun 1941, orang Cina hanya menjadikan Tanah Melayu sebagai petempatan sementara untuk mencari kekayaan dan mereka pasti akan kembali ke negara asal. Namum, selepas Perang Dunia Kedua tamat keinginan orang Cina mulai berubah dan mereka mula ingin menetap di Tanah Melayu.

Cara kemasukan orang Cina

Sistem tiket kredit

Melalui sistem tiket kredit, kedatangan orang Cina dibiayai secara hutang oleh seorang ejen. Mereka akan bekerja dengan ejen tersebut dalam tempoh masa tertentu sehingga hutang mereka selesai. Selepas tempoh tersebut, mereka akan dibebaskan untuk memilih untuk mencari pekerjaan lain dengan majikan lain atau terus kekal dengan majikan asal. Buruh Cina ini dikenali sebagai “Singkheh”.

Sistem Kangchu

Melalui Sistem Kangchu, orang Cina digalakkan berpindah dari Singapura dan menetap di Johor serta membuka ladang lada hitam dan gambir di bawah pengawasan seorang Kangchu iaitu ketua puak-puak orang Cina. Setiap Kangchu dipertanggungjawabkan mengawal, membayar sewa bagi kawasan yang dibuka serta menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh buruh Cina di bawah pengelolaannya. Pada tahun 1860-an, seramai 15,000 orang Cina telah dibawa masuk ke Johor melalui sistem Kangchu ini.

Cara Persendirian

Orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu bagi mengatasi kesempitan hidup di China melalui bantuan rakan, ahli keluarga ataupun dengan perbelanjaan sendiri.[4] [5]